Wednesday 2 December 2015

Filled Under:

KISAH SEBENAR Seniwati Mariani yang Rakyat Malaysia Tidak Tahu. Tengok di Televisyen, tak sama, kehidupan sebenar. jangan cakap anda kenal,sebelum anda tengok yang ini.


Semalam kita dikejutkan dengan berita pemergian seniwati Mariani. Mariam Ismail, 82, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Sentul pada 7.32 malam tadi.
Selama hayatnya dikandung badan, seniwati Mariani Ismail tidak pernah sesekali meminta-minta atau merayu ihsan orang lain untuk menampung kehidupannya. Walaupun dirinya mungkin hidup tidak semewah insan seni lain, namun selagi kudrat masih ada, beliau sanggup menggunakan tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi.

Memetik sumber BH Online, ditemuabual pada pertengahan tahun ini, pemilik nama penuh Siti Mariam Ismail ini berkata, meskipun tidak mempunyai harta melimpah ruah, apa yang penting hidupnya tidak melarat.

“Sepanjang 64 tahun berlakon, saya ada membuat simpanan serba sedikit. Kadang-kadang pada satu tahap tak sempat nak menyimpan. Alhamdulillah, rezeki itu tetap bersambung, walaupun sedikit. Setakat ini, Alhamdulillah kehidupan saya semakin baik. Saya tak hidup melarat,” kata wanita berasal dari Tanjung Pagar, Singapura ini.

Itulah sifat sebenar Mariani, primadona filem Melayu era Jalan Ampas yang dikenali ramai. Meskipun usianya sudah menjangkau 82 tahun, tenaganya masih gagah untuk turun ke lokasi. Barangkali itulah juga tanda kecintaannya terhadap dunia lakonan yang diceburi sejak usianya mencecah angka 17 tahun, iaitu selepas beliau memenangi pertandingan Ratu Cantik Singapura (1951).

Mariani pernah ditawarkan berlakon oleh pemilik Studio Jalan Ampas, Tan Sri Run Run Shaw, namun saat itu beliau menolaknya. Alasannya ketika itu, beliau ingin menjadi seorang doktor. Hanya dua tahun kemudian, selepas dipujuk oleh adiknya sendiri, Saloma, barulah beliau bersetuju untuk mengasah bakat dalam lakonan.

Filem pertama lakonannya ialah Chemburu arahan S Ramanathan pada 1952. Beliau dibenci peminat kerana membawakan watak jahat dalam filem terbabit. Selepas berjaya membawakan watak antagonis dengan berkesan, beliau ditawarkan lagi berlakon dalam beberapa filem keluaran syarikat berkenaan, antaranya Istana Impian, Kembali Seorang, Labu Labi, Nasib Si Labu-Labi dan Tiga Abdul.

Filem lakonan beliau sewaktu di Studio Merdeka, Kuala Lumpur pula adalah seperti Masam-masam Manis dan Putus sudah Kasih Sayang. Sepanjang pembabitannya dalam seni, lebih 30 judul filem dibintangi oleh Mariani.

Mungkin ramai yang tidak tahu, beliau juga berbakat dalam nyanyian. Lagu nyanyiannya bertajuk Darah Muda turut diperdengarkan dalam filem yang mempunyai judul yang sama. Filem itu menampilkan Mariani bersama-sama bintang lain seperti Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Sarimah Ahmad.

Sepanjang kehidupannya, Mariani pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Bersama suami pertamanya, Darus, Mariani dikurniakan dua anak iaitu Noraini dan Normala. Bersama suami kedua pula, H M Rohaizad, beliau dianugerahkan dengan enam anak iaitu Sharifah Haslinda, Sharifah Rozita, Syed Herwaini, kembar Syed Marhain dan Syed Nazran serta Syed Hasnidan.

Bersama suami ketiganya, Alias, Mariani memperoleh lima anak iaitu Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan pelakon serta pengarah, Melissa Saila.

Dalam usia yang semakin lanjut, beliau tetap aktif berlakon dan antara drama terakhir lakonannya ialah Kampung Semarah Padi, Kronologi Penjual Roti dan Hospital Mati Lampu.




0 comments:

Post a Comment